- Perbanyakkan
menyebut Allah daripada menyebut makhluk.
Sudah
menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik
kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlampau banyak
nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji
dan menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji
habisan tapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kita langsung tak ingat.
Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika,
bukan ucapan Al-hamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sedawa.
Pujian begini hanya di lidah saja tak menyelera hingga ke hati.
- Perbanyakkan
menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia.
Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia
setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur
di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat
akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100
daripada akhirat. Hanya orang yang senteng fikiran sibuk memikirkan
Wawasan Dunia (WD) hingga terlupa Wawasan Akhirat (WA). Manusia yang
paling cerdik ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Saham
Amanah Dunia (SAD) tak penting, tapi yang paling penting ialah Saham
Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi dan merudum malahan sentiasa
naik berlipat kali ganda. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal
akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.
- Perbanyakkan
menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan. Kita
sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tapi jarang
memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana
dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan amalan
yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu
memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan
semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tak usahakan
kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat? Dalam
hubungan ini eloklah sikap Saidina Alli dicontohi. Meskipun sudah terjamin
akan syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali tentang
kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa
pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dengan dosa?
- Jangan
menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga.
Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh atau
membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat atau
menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri
sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang kita buat,
kita sebut-sebut selalu macam rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh sekampung'.
Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita itu sudah
menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api
dalam sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih
dahsyat lagi jika menimbulkan ria' atau bangga diri yang mana Allah telah
memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (ria') tidak akan mencium bau
syurga. Ria' adalah satu unsur dari syirik (khafi). Oleh itu eloklah kita
berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita
kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan buat baik yang ada
pada diri kita itu sebenarnya datang dari Allah. Allah yang menyuruh kita
buat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita
orang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita
terlupa kepda Allah yang mengurniakan kebaikan itu.
- Jangan
sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain.
Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri
kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong
melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri
kita sendiri. Bak kata orang tua-tua 'kuman seberang lautan nampak, tapi
gajah di depan mata tak kelihatan'. Islam menuntut kita melihat kekurangan
diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita.
Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan
isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari
telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi 4 lagi jari
menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan
diri kita lebih buruk daripadanya. Oleh sebab itu, biasakan diri kita
melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Jangan menjaga
tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Dalam Islam ada
digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia
iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada
banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula,
lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah berbuat
baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat dari bisikan syaitan
yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api
neraka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan