Jumaat, 25 Mei 2012

Jutawan Amerika Peluk Islam Setelah Sebulan di Arab Saudi



FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Bukanlah kewajipanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allahlah yang memberikan (memberi taufik) siapa yang dikehendaki-Nya… (al-Baqarah: 272)
Maka itu, tidak hairan jika hidayah Allah itu datang dengan cara yang tidak disangka-sangka. Begitu juga dengan kembara hidayah insan bernama Richard Patterson atau nama Islamnya, Abdulaziz.
Abdulaziz bukan sebarangan orang. Dia adalah seorang ahli perniagaan terkemuka warga Amerika Syarikat (AS) yang juga seorang juruterbang. Namun, dia melakukan hijrah akidah selepas sebulan berada di bumi Arab Saudi. 

Dia ke Arab Saudi kerana mendapat kontrak dengan Bulan Sabit Merah Arab saudi untuk melatih mahasiswa tentang kecemasan di udara.“Saya pada mulanya datang ke Arab Saudi untuk tujuan transaksi komersial. Saya begitu senang membuat kesepakatan terbaik dalam hidup saya dengan Allah SWT dengan masuk Islam,” kata Abdulaziz
Jutawan sebuah syarikat yang mengendalikan perkhidmatan bantuan perawatan kritikal memiliki kekayaan berjumlah RM155 juta, dua pesawat peribadi dan dua helikopter yang khusus untuk penerbangan perubatan khas.

Isnin, 14 Mei 2012

Tidak Solat Tetapi Hidup Senang Lenang. Kenapa Macam Tu?


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat sahabat semua.

Namun demikian, jika dijawabnya, tak solatpun boleh hidup senang lenang, tak ada masalah pun. Jika disambung lagi, tengok orang yang solat tak pernah tinggal tapi hidup susah memanjang. Apa guna solat katanya. Itu tandanya imamnya makin goyang. Tak mustahil dia boleh tergelincir akidah. Apatahlagi jika dia anggap solat tidak wajib sudah sah gugur akidah dia. Nauzubillahi min zalik. Banyak orang tidak solat sebab inilah. Sebab pertama dia ukur diri dia. Kedua dia ukur orang lain. Bila dia ukur diri dia - dia tak solat tapi hidup tetap gembira. Duit senang lenang. Bisnes maju. Tidak pernah rasa sakit. Tidak pernah rasa bimbang. Makan berselera macam biasa. Jadi dia rasa tak ada bezanya dia solat ke tidak. 

Ukuran kedua dia lihat orang lain. Orang lain yang hari-hari ke masjid, solat wajib tidak pernah tinggal, solat sunat hari-hari buat tapi dia tengok orang tu tak sesenang diapun. Naik motor buruk macam tu jugak. Rumah dinding papan buruk berbumbungkan zink bertampal-tampal macam tu jugak. Patutnya dia rajin solat, Allah dah bagi rezeki melimpah ruah dekat dia. Tapi tak adapun. Akhir sekali ukuran jahil dia kata kalau macam tu baik tak payah solat kalau gitu.

Ramai golongan macam ni dalam masyarakat. Solat dianggap tidak bernilai. Bahkan lebih teruk anggap solat boleh menyekat rezeki. Semuanya kerana cetek ilmu agama. Ada satu kisah menarik untuk saya kongsikan. Dalam majlis agama selalu sebut kisah ni untuk teladan.  Ada dua orang nelayan. Seorang penyembah berhala, seorang lagi muslim yang taat kepada Allah. Ketika menebar jala, nelayan yang menyembah berhala menyebut nama berhalanya, manakala nelayan muslim itu membaca bismillah. Bila tiba masa jala diangkat, nelayan penyembah berhala mendapat banyak ikan, sedangkan nelayan muslim tadi, tidak memperolehi seekorpun. Malaikat yang melihat keadaan itu bertanya kepada Allah " Ya Allah, apakah yang telah berlaku? HambaMu yang menyekutukanMu, Kau berikan dia rezeki yang banyak, sedangkan hambamu yang menyebut namaMu, Kau tidak memberikan dia apa-apa." Allah menjawab, “ Yang menyekutukanKu, tempatnya memang sudah pasti Neraka. Maka apalah sangat rezeki yang pasti akan hancur itu jika Kuberikan kepadanya? Tetapi hambaKu yang beriman itu, Aku hendak memberi ganjaran syurga, maka Aku suka mengujinya untuk melihat kebenaran imannya”.  Saya pasti ramai yang pernah dengar cerita ini termasuk orang yang tidak solat tersebut. Peringatan dari Allah amat jelas. Sama ada kita nak faham atau tidak itu jer.

Jangan bersangka baik dalam keadaan kita gembira kerana tidak solat. Tidak solat bermakna lain-lain ibadat kita - puasa, zakat, sedekah tidak bernilai di sisi Allah. Azab akhirat pasti tersedia jika kita dijemput dalam keadaan kita tidak pernah mengenal sejadah.


Isnin, 6 Februari 2012

Kalimah Allah Di Langit


5 PERKARA ELOK DISEBUT



  • Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk. 
Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji habisan tapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kita langsung tak ingat. Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Al-hamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sedawa. Pujian begini hanya di lidah saja tak menyelera hingga ke hati.
  • Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia. Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang senteng fikiran sibuk memikirkan Wawasan Dunia (WD) hingga terlupa Wawasan Akhirat (WA). Manusia yang paling cerdik ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Saham Amanah Dunia (SAD) tak penting, tapi yang paling penting ialah Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.
  • Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan. Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tak usahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat?  Dalam hubungan ini eloklah sikap Saidina Alli dicontohi. Meskipun sudah terjamin akan syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dengan dosa?
  • Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga.  Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut selalu macam rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh sekampung'. Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api dalam sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan ria' atau bangga diri yang mana Allah telah memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (ria') tidak akan mencium bau syurga. Ria' adalah satu unsur dari syirik (khafi). Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan buat baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang dari Allah. Allah yang menyuruh kita buat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepda Allah yang mengurniakan kebaikan itu.
  • Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain. Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua 'kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan'. Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi 4 lagi jari menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita lebih buruk daripadanya. Oleh sebab itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik.  Hanya dengan cara ini kita terselamat dari bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka.